Aku nak berkongsi kisah kehidupan seorang guru yang amat mengharukan pada aku. Tak tau la pada org lain, tp gaya penulisan dan keindahan bahasanya membuatkan aku terpukau dan kadangkala boleh menangis jugak. Huhuh. Kalian nilailah sendiri..
Jika dalam bahasa arabnya, bermaksud yang memelihara. Mungkin, seorang yang memelihara itu seorang yang memayungi, melindungi.
" Cikgu, kalau nama saya Hafiz, apa maksud dia, cikgu" Hafiz pernah bertanya kepada aku suatu masa dahulu. Dan, ku terangkan sedikit maksudnya.
Hafiz, datang ke sekolah aku pada 3 tahun yang lalu. Waktu itu, adalah tahun pertama aku di sekolah ini. Hafiz berasal dari Pendang,Kedah. Sebuah daerah yang penuh kesusahan dan kesukaran. Ibunya terpaksa menyerahkan Hafiz kepada adiknya yang menetap di sini. Ibunya hanya berkerja sebagai pencuci tandas awam di salah sebuah stesen minyak di sana. Jadi, mengenangkan Hafiz masih mempunyai adik beradik lain dan mengharapkan dia boleh berdikari, maka dia harus berpisah daripada adik beradiknya.
Masalah besar. Hafiz sudah berusia 10 tahun. Tahun Empat pada ketika itu. Tetapi, dia masih tidak tahu membaca dan menulis secara asas. Beginilah jadinya jika menjadi anak terbiar. Makan dan pakai bukan sahaja tidak terjaga, keperluan minda dilupakan sahaja.
Pada ketika itu, aku hanya mengajar Hafiz dan rakan-rakannya dalam kelas itu subjek Kajian Tempatan. Subjek gabungan Geografi dan Sejarah. Suatu hari, aku menyuruh mereka mengumpul semua gambar jenis rumah yang terdapat di Malaysia berdasarkan dari akhbar-akhbar.
Esok paginya, belum sempat aku meletakkan kenderaan aku, dia mendapatkan aku.
" Cikgu, tak dak cikgu" katanya tiba-tiba. Masih dengan pekat loghat Kedahnya.
" apa yang tak dak? " tanya aku.
" Gambaq had yang cikgu mau, saya tak dak, tak pa lah na, rumah mak manakan (mak saudara) saya tak baca surat khabaq" dia menjelaskan pada aku.
Aku ketawa mengenangkan loghat Kedahnya itu. Teringat pula anak-anak saudaraku yang sesekali datang ke rumah. Begitulah bunyi mereka berbicara.
Sikapnya berani mengadu dan berterus terang. Salah satu sikapnya yang aku perhatikan pada ketika itu, ialah Hafiz seorang yang ringan tulang. Dia sentiasa membantu teman-temannya membersihkan kelas sungguhpun bukan tugasnya.
Bajunya sentiasa lusuh. Kasutnya koyak rabak. Seluarnya singkat. Tangan-tangannya sangat kasar dan kematu. Satu hari, dia datang ke sekolah dengan kaki kirinya dibalut kain.
" kenapa dengan kaki kamu? " tanya aku. Memulakan perbualan.
" hah, tak dak apa aihh" Dia menjawab ringkas.
" Cikgu tanya kamu ni, kaki tu kenapa ?" tanya aku sekali lagi.
" kena timpa ngan buah sawit" jawab Hafiz.
Kakinya ditimpa buah sawit di ladang. Rupa-rupanya dia menolong pak ciknya bekerja di ladang sawit. Dia bekerja di situ pada hujung minggu, mendapatkan sedikit duit .
Kalaulah kalian tahu betapa kecilnya tubuh Hafiz, kalian pun tidak menjangkakan dia sanggup bersusah payah untuk bekerja sebegitu. Entah berapalah agaknya yang dia peroleh dengan memikul buah sawit yang bukanlah ringan seperti kita jangkakan.
Satu peristiwa yang aku tidak lupa, ialah pada hujung tahun itu, sekolah aku mengadakan lawatan ke Melaka. Murid-murid lain sudah menyatakan persetujuan untuk pergi, kecuali Hafiz.
" Kenapa kamu tak mahu pergi?" Tanya aku.
" Tak dak apa, aihhh" jawabnya ringkas. Senyum tersengih.
" Duit tak cukup ke?" tanya aku lagi. Menyiasat.
Hafiz tersenyum lagi. Mengelengkan kepala. Tidak mahu menyatakan sebabnya.
" Cikgu, dia tak nak pergi sebab duit yang mak dia bagi, nak gunakan untuk bersunat"Arif mencelah, sambil tertawa disambut hilaian ketawa teman-teman yang lain. Mungkin, perkataan sunat itu sangat melucukan buat mereka. Hafiz pun turut tertawa tetapi seperti menahan malu.
Rupa-rupanya duit yang sentiasa dikirimkan oleh ibunya setiap bulan, disimpan dan tidak digunakan. Sungguhpun dia tahu, dia boleh menggunakannya untuk lawatan itu, tapi hendak digunakannya kepada persoalan yang lebih penting. Bersunat.
Aku berasa sangat sebak. Dalam usia 10 tahun, dia sudah mempunyai kematangan dalam membuat keputusan. Tanpa memikirkan orang lain, dia tahu dan sedar tentang nasib untung dirinya.
" Tak pe, kalau macam tu. Cikgu bayarkan separuh duit tambang kamu untuk lawatan. Kamu nak ikut tak? " tanya aku.
" Cikgu, macam mana dia nak pergi. Kan dia nak bersunat. Takkan nak pergi Melaka pakai kain je" Arif sibuk menjawab bagi pihaknya.
Kali ini, seisi kelas tahun 4 gelak ketawanya hangar dan bising. Hafiz juga ketawa. Ya tak ya juga. Fikir aku.
Hafiz bukanlah seorang murid yang bijaksana. Hafiz juga bukanlah murid yang suka mengikut kata guru dan peraturan sekolah. Ada sahaja aktiviti nakalnya yang kadangkala menyebabkan guru-guru lain dan aku hilang sabar.
Kenakalannya menjadi-jadi. Yang sentiasa sahaja diadukan kepada aku dan guru-guru lain. Jika di kampung, lombong-lombong lama dijadikan tempat bermandi manda tanpa memikirkan keselamatannya. Tak cukup dengan itu, kadang-kadang, rambutan dan langsat orang dipungutnya. Kenakalannya sentiasa menjadi sebutan.
Begitulah Hafiz di mata aku. Yang aku lihat, sungguhpun dia begitu, tetapi aku percaya dia masih boleh diselamatkan lagi. Begitulah azam aku, kerana dia sudah memasuki tahun 6 tahun ini, dan begitu jugalah tekad aku untuk melihatnya mampu membaca dan menulis dengan lancar tahun ini.
Guru-guru lain menyifatkannya ia adalah misi mustahil. Maklumlah, dengan kenakalan dan kedegilannnya untuk belajar menjadikan dia begitu malas untuk berusaha. Dengan latar belakang begitu, yang akan menjadikan dia lebih malas berusaha.
Aku tahu dia berkemungkinan besar tidak akan lulus dalam Matematik dan Bahasa Inggeris, sedangkan Bahasa Melayu masih ternganga-nganga, inikan pula yang lainnya. Tetapi, itu tidak akan menjadikan alasan aku untuk membiarkannya sahaja.
Tekad aku biarlah dia dapat membaca dan menulis dengan baik. Ini penting untuk masa hadapannya, sunguhpun mungkin dia gagal dalam UPSR. Kerana tekad inilah, aku membimbingnya secara individu. Kalau dia langsung tidak boleh membaca, bagaimana dia mahu memohon pekerjaan, dan mengisi boring meskipun untuk jawatan operator pengeluaran di kilang. Tidak. Aku tidak boleh jadikan Hafiz buta sebegitu.
Apa yang aku lakukan untuknya?
Aku datang awal setiap pagi. Setiap pagi jam 7. Aku akan menunggu Hafiz datang menemui aku di kantin. Aku ambil masa 30 minit waktu itu, sebelum loceng berbunyi untuk membimbing Hafiz membaca dan menulis secara asas. Aku tidak punyai waktu yang lain, kerana sibuk sepanjang hari mengajar dan melakukan tugas-tugas pentadbiran yang lain. Jika di dalam kelasnya, aku mungkin tidak mampu berikan perhatian " one to one" kerana, dalam kelas itu, aku harus berikan perhatian kepada murid-murid yang lain, yang mempunyai pelbagai aras kemampuan mereka.
Itulah yang aku lakukan setiap hari. Sedangkan cikgu lain sibuk berbual sambil makan dan minum pagi. Aku, masih minum pagi tetapi Hafiz duduk di sebelah aku, sambil beragah-agah membaca.
Tumpuannya kurang. Murid sebegini hanya perlukan 15 hingga 20 minit untuk mengambil ilmu yang berkesan. Tetapi, disiplinnya kurang.
Aku terpaksa menjegilkan mata. Aku terpaksa memarahinya. Aku terpaksa menguatkan suaranya. Aku terpaksa memujuknya. Aku juga memujinya habis-habisan supaya dia sentiasa fokus dan bersemangat untuk meneruskannya.
Akhirnya, pembacaan perkataan kvkk ( seperti sang, bak, tak, sak, dll) berjaya disebutnya dengan jayanya. Tidak terbayangkan rasa lega aku. Dan, seterusnya aku membimbing dia menulis ayat-ayat yang mudah, supaya akhirnya pabila peperiksaan UPSR tiba, sekurang-kurangnya dia mampu menjawab.
Di dalam kelas, aku berikan latihan yang berasingan. Latihan individu yang membolehkan dia mencapai matlamat yang aku inginkan.
Hakikatnya, kadangkala Hafiz dalam mood yang mahu belajar dan kadangkala dia dalam mood kedegilan dan kemalasannya. Aku tidak dapat memujuknya selalu, jadi lazimnya aku terpaksa memarahinya dan sentiasa tegas terhadapnya.
Hafiz, aku tahu kadangkala dia bencikan aku. Kerana setiap pagi dia harus menebalkan muka di hadapan aku. Di dalam kantin, di hadapan guru-gurunya yang lain, dan setiap kali itulah aku memaksanya membaca dengan betul. Tapi, aku tahu Hafiz punyai sikap yang kental kerana dia tahu dia perlu menghadapinya. Mungkin kerana itu, dia tahu dan maklumi, aku hanya mahukan yang terbaik daripada dia. Biarlah dia benci aku, janji dia boleh membaca sedikit sebanyak. Benarkah dia membenci aku?
Buktinya, pada sambutan Hari Guru tahun ini, barulah aku tahu dia begitu menghargai diri aku sebagai gurunya. Aku lihat dia memegang sebuah hadiah yang dibungkus cantik. Murid lain dengan pelbagai hadiah, mungkin mampu membelinya untuk beberapa guru yang lain. Tetapi, dia hanya memegang satu sahaja.
Ya, hadiah itu untuk aku. Dia memilih aku daripada guru-guru lain. Dia gunakan duitnya yang dia sentiasa " kedekut " dan berjimat cermat itu untuk aku. Kalian bayangkanlah perasaan aku ketika itu yang cukup sebak dan terharu.
Saya doakan cikgu hidup bahagian
Itulah yang ditulis. Dia mungkin bermaksud bahagia, dan bukan bahagian. Keliru barangkali. Tetapi, hey dia sudah boleh menulis ayat yang lengkap dan hampir gramatis.
" Apa yang kamu tulis tu?" tanya aku pada satu hari. Aku terlihat di bekas pensilnya, tertulis perkataan 2C 3E di atasnya.
" Target UPSR saya" jawabnya ringkas.
" Oh, ye ke. C tu subjek apa? " tanya aku mendapatkan kepastian.
" Cikgu punyalah"jawabnya . Maksudnya dia mahu dan berazam memperoleh 2 C untuk Penulisan dan Pemahaman Bahasa Melayu yang diajar aku.
" Kamu boleh dapat lebih daripada C, kalau kamu nak. Tapi kenapa yang lain tu kamu nak E plak? " tanya aku sambil tersenyum.
" had yang lain, saya tak tau lah cikgu" jawabnya.
Masa berlalu. Peperiksaan UPSR dijalankan. Dan, minggu lalu, keputusan telah diumumkan.
Apa yang Hafiz telah peroleh, kalian?
B untuk Penulisan
B untuk Pemahaman
Dan D untuk tiga subjek yang lain.
Perasaan ini. Perasaan kegembiraan dan keriangan ini sangat tidak terbandingkan. Terselit beribu perasaan. Sebak. Terharu. Bangga. Puas. Perasaan ini cukup bahagia. Lebih bahagia daripada perasaan gembira sekiranya aktor dan aktres pujaan aku menggondol anugerah lakonan mereka. Begitulah puasnya perasaan aku ketika itu.
Ketika dia di tahun 4, dia tidak boleh langsung membacanya. Ketika dia di tahun 5, masih tergagah lagi, dan guru Bahasa Melayunya meramalkan dia akan gagal dalam UPSRnya. Dan, aku guru Bahasa Melayunya pada tahun 6 berjaya merealisasikan misi mustahil.
Apa yang mengejutkan, dia memperoleh B. Yang tidak terjangkakan oleh aku dan juga Hafiz.
Aku tersenyum. Dia juga tersenyum melihat aku.
" Hang dapat apa?" tanya aku. Mengajuk loghat Kedahnya. Ya, walaupun aku sudah tahu keputusannya.
Dia mulai sebak. Merah matanya. Tapi ditahannya. Tapi, penuh senyuman. Senyuman dan sengihnya yang paling manis.
" 2 B, cikgu" sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan aku. Mungkin mahu mengucapkan terima kasih. Dia mengambil kedua tangan aku. Dan mengucup tangan aku sambil menangis teresak-esak.
Dia mungkin tidak berjaya dalam pelajaran. Dia mungkin tidak berjawatan tinggi satu hari nanti
Dia mungkin degil dan nakal. Namun, aku tahu dia rajin berusaha untuk memajukan diri. Justeru, aku tahu dia akan berjaya menjadi " manusia berguna" suatu hari nanti. Inshaallah.